Berita Utama

33 notis kesalahan merokok dikeluarkan

Kompaun berjumlah RM11,250 kepada individu, pemilik premis

KUALA LUMPUR, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Sebanyak 33 notis dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah RM11,250.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau KKM, Dr Noraryana Hassan berkata, kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok ke atas 13 premis yang diperiksa di sekitar ibu negara, malam tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 21 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1) PPKHT iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan dan baki 12 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 12(1)(a) iaitu tanggungjawab pemilik atau pengusaha tempat makan mempamerkan tanda larangan merokok.

“Operasi ini menumpukan kepada pembanterasan aktiviti menghisap shisha yang juga jatuh di bawah kategori merokok dilihat semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Saya rasa ramai yang mungkin alpa dan berfikir merokok itu hanya tertumpu kepada rokok konvensional dan rokok elektronik sahaja.

“Mereka mungkin lupa bahawa menghisap shisha di tempat-tempat larangan termasuklah di tempat makan juga adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita. 

Operasi bersepadu itu berlangsung selama kira-kira empat jam bermula 8 malam tadi disertai 65 anggota dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan penyediaan perkhidmatan shisha kepada mana-mana premis dan menegaskan kompaun sehingga RM2,000 akan dikeluarkan kepada mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat lesen.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button