Berita Utama

Gadis terpaksa lompat dari kereta selepas diraba pemandu e-hailing

Mangsa turut diancam dengan pisau supaya serahkan wang

KOTA KINABALU, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Seorang gadis terpaksa melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak selepas pemandu e-hailing didakwa mencabul dan menyamunnya berhampiran Jalan Kionsom Inanam dekat sini, pagi tadi.

Jurujual berusia 19 tahun itu dilaporkan menaiki sebuah kereta e-hailing berwarna biru tua sebelum jam 9 pagi untuk pergi ke tempat kerja di Menggatal dekat Inanam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakman berkata, pemandu itu ‘memberitahu’ mangsa bahawa dia terpaksa melencong menggunakan jalan pintas kerana laluan utama sesak.

“Ketika mereka menghampiri kawasan air terjun Kionsom, pemandu didakwa meminta gadis itu menukar ke tempat duduk penumpang hadapan kerana dia duduk di belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu itu kemudian dikatakan telah meraba-raba pahanya, lalu gadis itu memberi amaran supaya tidak melakukannya.

Pemandu itu kemudian didakwa mengeluarkan pisau kecil dari poketnya dan meminta mangsa menyerahkan wang.

Gadis itu kemudian bertindak melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dan melarikan diri dengan berjalan kaki, kata George.

Katanya lagi, gadis itu mengalami kecederaan di badan berikutan tindakan melompat keluar dari kenderaan.

Dia sempat menghubungi rakannya untuk mendapatkan bantuan dan mengambilnya, sebelum mereka membuat laporan polis mengenai perkara itu pada jam 1.14 tengah hari.

George seperti dilapor The Star berkata, siasatan awal mendapati kereta itu mempunyai nombor plat yang didaftarkan kepada kenderaan lain.

“Pemburuan sedang dijalankan untuk mencari suspek,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Riduan Abd Majidat di talian 010-514 4059, atau balai polis berhampiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button