Berita Utama

Gaji minimum: Peniaga diingat tidak naikkan harga barang

KPDNHEP akan jalankan pemantauan berhubung perkara itu

KUALA LUMPUR, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan susulan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya turut menjalankan pemantauan berhubung perkara itu.

“Sebab itu saya juga sebelum ini pernah membuat rayuan, lebih-lebih lagi kepada peniaga supaya jangan ambil kesempatan apabila kadar gaji minimum dilaksanakan kerana memikirkan kononnya pengguna sudah ada gaji yang besar daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan peraduan ‘Beli Dan Menang RM1 Juta’ di cawangan KK Super Mart Maju Link, Bandar Tasik Selatan dan merasmikan pembukaan K3 Coffee Lab cawangan pertama milik KK Mart di sini, hari ini.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Terdahulu Nanta dalam ucapannya berkata pelaksanaan program seperti Program Jualan Malaysia (PJM), Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini khusus untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

“KPDNHEP melalui inisiatif berterusan sentiasa meneruskan pelbagai inisiatif untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi melalui program ini. Semua inisiatif kementerian ini sentiasa disokong pihak industri termasuk KK Supermart di seluruh Malaysia,” katanya.

Katanya KPDNHEP sentiasa menyokong usaha dilaksanakan pihak industri peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

Mengenai peraduan ‘Beli Dan Menang RM1 Juta’ itu, pelanggan hanya perlu berbelanja dengan nilai minimum RM21 dalam satu resit dan imbas kod QR yang dipamerkan dalam poster yang tertera di setiap cawangan KK Super Mart.

Peraduan ‘Beli Dan Menang RM1 Juta’ di KK Super Mart itu berlangsung selama enam bulan bermula 1 Mac lepas dan berakhir 31 Ogos depan dengan 10 pemenang separuh akhir akan dipilih, dan hanya seorang peserta berpeluang memenangi RM1 juta. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button