Kadar zakat fitrah Perak kekal RM7
Pembayar digalak bayar melebihi kadar ikut beras yang dimakan

IPOH, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Perak masih mengekalkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, harga minimum yang perlu dibayar oleh setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah adalah sebanyak RM7.00.
“Bagaimanapun, adalah digalakkan para pembayar zakat fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar ‘tatawwu’ (mengerjakan ketaatan).
“Kadar yang ditawarkan adalah RM14.00 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya, manakala RM21.00 bagi pembayar menggunakan beras basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi memudahkan pembayar zakat, pihaknya menyediakan beberapa platform seperti QR Code Maybank, Aplikasi Snap N Pay, Aplikasi GoPayZ dan Financial Process eXchange (FPX) melalui Portal MAIPk bagi kemudahan bayaran dalam talian.
Selain itu, bagi bayaran melalui amil, kutipan zakat fitrah boleh dilakukan secara kaunter yang diwujudkan di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai selain pejabat kerajaan atau swasta terpilih atau bertemu secara langsung dengan amil jika melibatkan warga emas uzur.
“Bayaran melalui amil hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan kepada arahan, peraturan dan tatacara kawalan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata, proses bayaran zakat fitrah kepada amil hendaklah mematuhi syarat seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman, menyediakan wang secukupnya bagi melancarkan proses bayaran dan tidak bersalaman semasa akad bayaran zakat.- Bernama