Berita Utama

Mahkamah tolak permohonan UMNO gantung prosiding kes saman SRC

JC dapati tiada keadaan khas untuk menggantung prosiding kes

KUALA LUMPUR, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan UMNO untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas untuk menggantung prosiding kes saman itu pada ketika ini.

“JC Mohd Arief juga membayangkan bahawa perbicaraan kes saman ini mungkin akan didengar dua tahun lagi, iaitu pada 2024 bagi memberi laluan kepada pelupusan kes-kes sedia ada yang lain.

“Mahkamah menetapkan 9 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya secara e-review,” kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini yang turut disertai peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili kesemua plaintif.

Permohonan UMNO itu difailkan pada 24 Nov 2021 antaranya atas alasan parti berkenaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Nov tahun sama, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman itu dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd selaku plaintif bagi meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan mendakwa tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman berkenaan.

Sementara itu, Shahrul Fazli berkata rayuan anak guamnya di Mahkamah Rayuan akan didengar pada 14 Jun ini.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik itu tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman itu difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button