Parlimen Pakistan bahas usul undi tidak percaya terhadap PM
Imran Khan hilang majoriti sekutu utama tarik diri dari gabungan

ISLAMABAD, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Parlimen Pakistan hari ini akan memulakan perbahasan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Imran Khan – yang boleh menyebabkan kepada penyingkirannya.
Imran, 69, berdepan kritikan hebat terhadap prestasinya, termasuk pengurusan ekonomi yang dilanda inflasi tinggi dan defisit yang meningkat.
Beliau juga kehilangan majoriti di Parlimen pada Rabu, apabila sekutu utamanya menarik diri daripada gabungan.
“Perdana menteri sudah tiada lagi,” kata akhbar Dawn berbahasa Inggeris yang berpengaruh dalam editorial di muka depan laman webnya.
Parlimen akan memulakan perbahasan mengenai kepimpinan Khan pada jam 4 petang hari ini.
Undian mengenai usul itu mesti diadakan pada hari Isnin.
Pada Rabu, sekutu Parlimen utama Imran, Pergerakan Muttahida Qaumi (MQM), meninggalkan gabungan dan bertelagah dengan pembangkang yang berusaha untuk menggulingkannya.
Pemimpin pembangkang telah menggesa Imran meletak jawatan sejak sebelum kehilangan majoriti di Parlimen lagi, tetapi pembantunya berkata bahawa beliau tidak akan berhenti.
Pemecatan Imran dijangka menyebabkan satu lagi senario ketidakstabilan di negara itu, di mana tentera mempunyai rekod panjang campur tangan dalam politik dan tiada perdana menteri yang pernah menamatkan penggal lima tahun penuh.
Penganalisis politik berkata, Imran menikmati sokongan tentera apabila dia memenangi pilihan raya untuk menjadi perdana menteri pada 2018 tetapi dia kemudiannya kehilangan sokongan jeneral atas pelbagai perbalahan.
Imran bagaimanapun telah menafikan pernah mendapat sokongan tentera.
Sementara itu, pihak tentera yang telah memerintah Pakistan selama kira-kira separuh sejarahnya, menafikan penglibatan dalam politik awam. – Agensi