Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PDRM unjur pengambilan 5,027 konstabel pada tahun ini

Terdapat keperluan tambah anggota wanita kendali kes jenayah tertentu

DUNGUN, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjurkan pengambilan 4,573 pelatih lelaki dan 454 pelatih wanita untuk menyertai program latihan asas kepolisan konstabel di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pengambilan ini akan dapat menampung kekosongan jawatan anggota dalam PDRM, susulan terdapat keperluan untuk menambah anggota wanita bagi mengendalikan kes jenayah berkaitan wanita dan kanak-kanak.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan perbarisan tamat latihan program latihan asas kepolisan konstabel wanita di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Dungun di sini hari ini beliau berkata sepanjang tahun lepas 4,752 lelaki dan 750 wanita telah berjaya menamatkan latihan asas kepolisan konstabel.

Turut hadir di majlis perbarisan hari ini ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Datuk Nerita Yaacob, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dan Komandan Pulapol Dungun Supt Lotfi Ameer Muhammad.

Sepanjang menjalani latihan asas kepolisan konstabel wanita itu, kesemua 349 pelatih di Pulapol Dungun didedahkan dengan pelbagai modul seperti akademik termasuk undang-undang dan syarahan liberal, latihan luar seperti kawad, latihan menembak dan kursus menunggang motosikal berat, modul prosedur kerja merangkumi balai pertanyaan, sekatan jalan raya, kawalan trafik serta modul kerohanian agama Islam dan pendidikan moral.

Ketika ini terdapat 3,112 pegawai kanan wanita, 12,287 anggota wanita biasa dan 977 anggota sokongan wanita dalam PDRM.

Sementara itu pelatih terbaik keseluruhan, Konstabel Noor Amirah Ahmad Azmi berkata minat yang mendalam dalam dunia kepolisan mendorongnya meninggalkan kerjaya sebagai peguam syarie di Ipoh, Perak.

“Walaupun saya telah mendapat pentauliahan Sijil Amalan Guaman Syarie dari Majlis Agama Islam Perak pada tahun 2019, namun dengan dorongan ayah, Ahmad Azmi Mat Ali, 63, yang juga pesara polis, ia menguatkan lagi semangat untuk saya mengikuti latihan asas kepolisan konstabel ini pada tahun lepas.

“Tambahan pula saya percaya PDRM akan terus memberi peluang untuk mengembangkan bakat, pengalaman dan ilmu untuk saya bertugas dengan lebih cemerlang selepas ini,” katanya yang juga merupakan siswazah Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button