Berita Utama

Perlis tiada hasrat gantung tugas guru KAFA enggan divaksin

JAIPs guna kaedah pujuk 8 guru bagi pastikan lengkap vaksinasi

BANGI, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak berhasrat mengikut langkah Selangor menggantung tugas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Sebaliknya, JAIPs akan terus memujuk kumpulan guru berkenaan untuk menerima vaksinasi itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana serta Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat lapan guru KAFA di negeri itu yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19.

“Namun kita tidak bercadang untuk menggantung tugas mereka. Namun, sebaliknya meneruskan kaedah memujuk dan menasihati kelompok terbabit bagi memastikan guru KAFA di Perlis lengkap vaksinasi.

“Kesemua lapan orang guru tersebut mempunyai alasan tersendiri disebabkan masalah kesihatan seperti komplikasi bersalin dan sebagainya,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 akan dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan bermula bulan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dalam tempoh penggantungan itu.

Malah, tindakan itu dibuat berpandu ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button