Berita Utama

Tenaga pengajar diminta guna bahasa elok: Mufti Kedah

‘Kita ada adab dalam Islam, perlu jaga bahasa dalam majlis ilmu’

ALOR SETAR, 28 Syaaban 1443H, Khamis – Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang meminta tenaga pengajar memilih penggunaan bahasa yang sesuai dalam proses pengajaran bagi memastikan penyampaian ilmu lebih berkesan. 

Tegasnya, penggunaan bahasa yang baik juga merupakan antara adab di dalam Islam.

Manakala, penggunaan perkataan tidak elok pula akan memberikan kesan kepada pelajar dan imej buruk kepada pengajar, katanya.

“Seorang guru memang tidak boleh menggunakan bahasa tidak elok. Kita mempunyai adab dalam Islam, ia perlu dijaga dalam majlis ilmu.

“Dalam penyampaian ilmu yang lebih berkesan, perlu dilihat seluruh aspek iaitu dari segi cara penyampaian iaitu menggunakan bahasa yang sesuai serta penampilan tenaga pengajar itu sendiri,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar kadar zakat Kedah, dekat sini, hari ini.

Pada masa sama, Syeikh Fadzil berkata, guru dan pelajar masing-masing mempunyai adab yang perlu dijaga.

Katanya, sikap yang tidak elok serta berlebihan turut dilarang dalam adab menuntut ilmu.

“Dalam Islam, sebagai pelajar juga ada adab apabila hendak bertanya soalan, tidak boleh sewenang-wenangnya untuk kemukakan soalan kepada guru.

“Perlu mendapat keizinan terlebih dahulu dan bertanya pada masa sesuai serta soalan tidak bercanggah dengan perkara yang dinyatakan oleh guru,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan pelajar yang mendedahkan keaiban guru dan menyifatkannya satu tindakan tidak baik.

Menurutnya, pelajar yang tidak berpuas hati dengan guru atau sebaliknya perlu berbincang selepas majlis ilmu bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya bertindak menularkan sesuatu kejadian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button