Berita Utama

Jangan melampaui batas, membazir ketika berbuka puasa: Jakim

Ambil peluang tingkatkan amalan serta ketakwaan bagi meraih keampunan

BANGI, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan dalam fasa peralihan endemik.

Bulan Ramadan merupakan bulan latihan bagi mengawal hawa nafsu seperti nafsu amarah – nafsu yang cenderung kepada perkara mungkar dan kejahatan – nafsu syahwat, nafsu makan dan seumpamanya.

Menerusi khutbah Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, memang tidak dapat dinafikan apabila dalam keadaan lapar atau perut kosong, nafsu makan akan semakin meningkat.

Katanya, perkara ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan umat Islam lalai dan leka dalam membeli serta menyediakan juadah untuk berbuka puasa sehingga berlakunya pembaziran.

Berikutan itu, Jakim menasihatkan umat Islam sentiasa berpada-pada dan tidak melampaui batas ketika berbuka puasa.

“Ingatlah, sebagai umat Islam tujuan kita berpuasa di samping menunaikan tuntutan agama, puasa juga ialah sebagai benteng daripada melakukan perkara mungkar dan ia merupakan latihan rohani dan jasmani.

“Oleh itu, tunaikanlah ibadah puasa berpandukan ajaran Islam yang sebenar.

“Janganlah kita berpuasa dengan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Tetapi buatlah amal kebajikan atau ibadah sunat yang lain,” katanya.

Pada masa sama, khatib menegaskan bahawa Ramadan bulan yang penuh dengan ganjaran pahala pada setiap amalan dilakukan.

Justeru, umat Islam diajak mengambil peluang dan ruang masa yang diberikan untuk meningkatkan amalan serta ketakwaan bagi meraih keampunan dan pelepasan dari api neraka jahanam.

“Ramadan bulan untuk kita mengawal nafsu daripada melakukan kemungkaran dan banyak melakukan amal soleh,” katanya.

Sementara itu, Jakim meminta semua pihak sentiasa istiqamah dalam melakukan kawalan kendiri terutama dalam membendung wabak COVID-19.

“Segera untuk mendapatkan dos vaksin penggalak untuk diri dan keluarga terutama anak-anak sebagai suatu ikhtiar yang diharuskan Islam.

“Bermunajat memohon doa agar kita semua sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT daripada mudarat dan bencana,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button