Berita Utama

Menyamar rakan, kenalan bagi tujuan penipuan

314 kes babit kerugian lebih RM2 juta setakat Mac tahun ini

BANGI, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Taktik penyamaran sebagai rakan atau kenalan bagi meminjam wang adalah salah satu modus operandi yang digunakan penjenayah untuk melakukan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan rekod pada tahun 2021, sejumlah 778 kes penyamaran sebegini telah disiasat membabitkan kerugian RM4,802,001.06.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sejumlah 314 kes telah dicatatkan dengan kerugian RM2,307,438.47.

“Sejak awal tahun 2022, sindiket penyamaran ini didapati mula melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperolehi dari Telegram untuk meminjam wang.

“Pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara ini apabila akaun Telegram mereka tidak dapat diakses ataupun menerima panggilan dari kenalan mereka berkenaan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai langkah pencegahan, Mohd Kamarudin menasihatkan pengguna akaun Telegram untuk mengaktifkan pin keselamatan ‘Two Step Verification’ di akaun masing-masing.

Katanya, melalui tetapan ini, tahap keselamatan akaun Telegram dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah mengaktifkan akaun tersebut melalui peranti lain.

“Antara lain, orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang yang diterima dari kenalan terutama apabila akaun bank yang digunakan adalah milik individu lain.

“Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan tersebut bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button