Dunia

Perancis buka konsulat jeneral di Mosul

Kakitangan konsulat beroperasi di kedutaan Baghdad mulai Jun

PARIS, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Perancis pada Khamis mengumumkan akan membuka konsulat jeneral di bandar Mosul, Iraq – wilayah yang pernah menjadi kubu kuat kumpulan pengganas Daesh.

Kementerian Luar Perancis dalam satu kenyataan berkata, kembalinya Konsulat Jeneral Perancis ke Mosul adalah satu peristiwa penting dalam perkongsian bersejarah dan strategik antara negara itu dengan Iraq.

Kakitangan konsulat akan beroperasi di kedutaan di Baghdad mulai Jun dan pejabat konsulat tetap akan dibuka di bandar Mosul, utara Iraq menjelang 2023.

Kenyataan itu berkata, konsulat akan memudahkan bantuan kemanusiaan, kebudayaan, pendidikan dan penyelidikan serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat di wilayah Nineveh.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berjanji untuk membuka semula konsulat dan sekolah Kristian berbahasa Perancis di wilayah itu ketika lawatannya ke Mosul pada Ogos lalu.

Kementerian itu berkata, Perancis selama beberapa dekad berada secara berterusan di Mosul – yang menjadi rumah kepada penduduk Arab Kristian, terutamanya melalui konsulat sejak 1828 hingga 1956.

Majoriti penduduk Kristian telah berkurangan kerana konflik dan penganiayaan yang berterusan.

Berikutan kemunculan militan Daesh/ISIS di rantau itu pada 2014, terdapat penghijrahan besar-besaran kumpulan minoriti Kristian dan Yazidi.

Kumpulan pengganas itu membunuh ribuan orang awam, merosakkan artifak purba dan menyebabkan kemusnahan berskala besar di bandar bersejarah berkenaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button