Berita Utama

Sindiket ekploitasi buruh paksa babit warga Malaysia dikesan

6 laporan polis diterima setakat Mac 2022 libat 26 mangsa

BANGI, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji yang lumayan di luar negara melalui apa juga cara.

Ini bagi mengelakkan orang ramai dieksploitasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi keuntungan dan kepentingan mereka, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima maklumat dan laporan polis berkenaan sindiket-sindiket pemerdagangan orang, membabitkan warganegara Malaysia yang diperdaya serta dieksploitasi sebagai buruh paksa di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

“Sepanjang tahun 2021 hingga Mac 2022, Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mendapati sebanyak enam laporan polis berkaitan kejadian sedemikian.

“Ia melibatkan 26 orang mangsa yang terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang masih memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket-sindiket berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, PDRM percaya bahawa masih terdapat mangsa terkandas di bawah kawalan sindiket-sindiket berkenaan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Abd Jalil berkata, daripada maklumat diterima mendapati kesemua mangsa telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan melalui media sosial iaitu Facebook.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran ini akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi WeChat, Whatsapp atau pesanan melalui Facebook.

“Selepas mangsa bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan, ejen menjanjikan akan mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, setelah mangsa tiba di negara itu, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon akan dirampas dan dimusnahkan, selain pergerakan dikawal serta dikurung dengan kawalan yang ketat.

“Mangsa seterusnya dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja, Mae Sot, Thailand, Vientiane, Laos dan Kayin State, Myanmar.

“Mangsa kemudannya sedar pekerjaan sebenar dan merasakan telah diperdayakan setelah mereka dipaksa untuk melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, scammer, pelaburan palsu, perlombongan Bitcoin dan lain-lain penipuan,” katanya.

Abd Jalil berkata, mangsa juga tidak dibenarkan untuk balik ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat berkenaan, dan diminta untuk membayar ganti rugi semua kos yang dianggar berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 seorang jika ingin kembali ke negara mereka.

“PDRM akan berusaha untuk bekerjasama dengan pihak Interpol dan Aseanapol bagi tujuan membantu mengesan serta menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat di negara masing-masing.

“PDRM juga akan berkolaborasi dengan pihak Kementerian Luar Negeri bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa di luar negara tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button