Terus patuh SOP meskipun masuk fasa peralihan endemik
Dos penggalak langkah perlu bagi semua pihak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, tidak bermakna rakyat boleh mengetepikan prosedur operasi standard (SOP).
Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, penularan COVID-19 masih berlaku justeru ada SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.
Meskipun cara menanganinya sedikit berbeza ketika fasa pandemik, beliau menegaskan bahawa penularan tetap berlaku dalam komuniti.
“Virus COVID-19 tidak mengenal sama ada mereka itu berada dalam fasa pandemik atau pun endemik.
“Cuma yang membezakan ialah sama ada kita dalam komuniti ini mengambil langkah yang baik untuk mengehadkan penularan daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Selain itu, Prof Azizi menekankan bahawa pengambilan dos penggalak adalah langkah perlu bagi semua pihak.
Ini kerana katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan data bahawa pesakit kategori tiga, empat dan lima COVID-19 dalam kalangan individu divaksin daripada mereka yang tidak mengambil dos penggalak ataupun belum melengkapkan dua dos suntikan.
Bahkan katanya, data semasa KKM menunjukkan kesan daripada penerimaan dos penggalak daripada Oktober tahun lalu sehingga Januari tahun ini terdapat penurunan yang agak signifikan dari segi kemasukan ke wad untuk rawatan COVID-19.
“Penurunan ke unit rawatan rapi (ICU) dan juga jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 majoriti kategori satu dan dua sahaja.
“Jadi itu satu indikator yang baik untuk rakyat Malaysia mengambil dos penggalak,” katanya.