Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Tiada lagi penjarakan sosial di Korea Selatan minggu depan

Rancang tarik balik kewajiban pelitup muka di tempat terbuka

SEOUL, 29 Syaaban 1443H, Jumaat – Korea Selatan akan melonggarkan peraturan penjarakan sosial mulai minggu depan, dan merancang membatalkan lebih banyak sekatan COVID-19 pada akhir bulan ini termasuk kewajiban memakai pelitup muka di tempat terbuka.

Mulai 4 April ini, ketetapan had operasi kedai makan dan perniagaan lain akan ditarik balik, selain membenarkan perhimpunan persendirian sehingga 10 orang, kata Menteri Kesihatan, Kwon Deok-cheol.

Keputusan itu adalah langkah terbaharu Korea Selatan dalam melonggarkan sekatan wabak, selepas membatalkan status vaksinasi dan kuarantin untuk pengembara luar negara yang sudah divaksin.

Kwon berkata, kerajaan akan mengkaji menamatkan sekatan lain kecuali pemakaian pelitup muka di tempat tertutup, jika kadar jangkitan harian menurun dan sistem perubatan stabil dalam tempoh dua minggu akan datang.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 280,273 kes jangkitan pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13,275,818 dengan 16,590 kematian.

Kwon berkata, gelombang itu pernah berada di kemuncaknya pada pertengahan Mac lalu apabila jumlah kes harian melepasi 620,000.

Korea Selatan sebahagian besarnya berjaya mengehadkan kematian dan kes kritikal melalui program vaksinasi dan usaha pengesanan kontak secara agresif.

Hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduk telah diberi vaksin sepenuhnya, dengan 64 peratus sudah mendapatkan dos penggalak, menurut data KDCA. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button