Agong, permaisuri disahkan positif COVID-19
Al-Sultan Abdullah alami gejala ringan, jalani kuarantin kendiri di Istana Negara

BANGI, 30 Syaaban 1443H, Sabtu – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara hingga Khamis (7 April), setelah disahkan positif COVID-19.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut dijangkiti virus itu akan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara hingga Jumaat (8 April).
“Perkenan Seri Paduka Baginda berdua menjalani kuarantin kendiri ini selaras dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi kes positif COVID-19 yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.
“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan.
“Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Istana Negara, hari ini.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menasihatkan semua rakyat agar sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara telah memasuki fasa peralihan endemik, Jumaat lalu.
“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua dikumiakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.