Berita Utama

Ramadan masa sesuai atur strategi perjuangan agenda agama, bangsa dan tanah air

Bakal hadapi kes-kes berkait kedaulatan agama selepas bulan mulia ini

BANGI, 30 Syaaban 1443H, Sabtu – Ramadan tahun ini perlu dimanfaatkan dengan baik selain dilihat sebagai masa yang sesuai untuk mengatur strategi dan beberapa langkah susulan dalam agenda agama, bangsa dan tanah air.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya melahirkan kesyukuran dipertemukan dengan bulan yang ditunggu-tunggu dan bulan yang penuh dengan perjuangan dan pengorbanan.

“Syukur juga, Ramadan pada tahun ini disambut dengan sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kita sudah mula ke arah fasa endemik.

“Kita dapat bertarawih dengan saf yang rapat dan bebas bersilaturrahim walau dengan sedikit SOP. Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam masa sama, mengingatkan supaya peluang tersebut dimanfaatkan dengan baik khususnya kepada mereka yang bekerja serta berjuang di lapangan NGO, komuniti dan masyarakat di semua peringkat.

“Ramadan kali ini adalah masanya untuk kita selaku para aktivis mengatur strategi dan langkah-langkah susulan dalam agenda agama, bangsa dan tanah air.

“Tambahan pula, bulan Ramadan juga adalah bulan ketenangan jiwa dan penyucian hati.

“Lebih-lebih lagi kita bakal menghadapi kes-kes mengenai kedaulatan agama selepas bulan Ramadan ini dan terdekat ialah pendengaran Kes Permohonan Pembatalan Keislaman Anak-Anaknya yang Mualaf oleh Loh Siew Hong yang amat penting, iaitu pada 17 Mei 2022 ini,” katanya.

Justeru, beliau mengesa orang ramai untuk bersama-sama dalam menjayakan perjuangan berkenaan selain mengambil keberkatan bulan ini untuk digunakan ke arah perjuangan yang sebenar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button