Berita Utama

Senarai jemaah 2020, 2021 jadi keutamaan tunai haji tahun ini

Harap Arab Saudi dapat beri keputusan kuota haji dalam masa terdekat

BANGI, 30 Syaaban 1443H, Sabtu – Bakal jemaah haji yang telah disenaraikan pada tahun 2020 dan 2021 bagi mengerjakan ibadat haji akan menjadi keutamaan Tabung Haji, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berharap kerajaan akan mendapatkan keputusan mengenai kuota haji tahun ini dalam masa yang terdekat dan akan mengutamakan mereka yang telah disenaraikan nama pada tahun 2020 dan 2021.

“Setakat ini kita belum dapat lagi kuota haji dan kita memahami ini mungkin kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi berikutan COVID-19.

“Tambahan pula negara itu juga baru sahaja membuka semula sempadan negara mereka dengan membenarkan Umrah,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kehadiran jemaah yang melakukan Umrah di Mekah dan Madinah agak ramai menyebabkan kerajaan Arab Saudi lambat untuk menentukan kuota haji tahun ini.

“Sebelum ini, kita harap mendapat kuota haji sebelum bulan Ramadan namun setakat ini kuota haji mana-mana negara pun belum diumumkan atau diputuskan lagi oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kita berdoa pada Allah agar dipermudahkan urusan untuk mendapat keputusan tentang perkara itu bagi memudahkan kita untuk menyusun dan merangka pengurusan untuk menempah hotel, pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Idris memaklumkan, kuota haji untuk rakyat Malaysia berkemungkinan tidak akan ditambah pada tahun ini.

Tindakan berkenaan berikutan kekurangan kemudahan prasarana, seperti tempat penginapan dan lain-lain keperluan yang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah semasa beliau menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button