Berita Utama

Sikap ‘selamatkan diri’ punca pemimpin Melayu terus membisu isu anak Loh

Ahli politik lebih selesa tak beri komen, sebaliknya serah urusan kepada pihak NGO

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 30 Syaaban 1443H, Sabtu – Sikap ‘menyelamatkan diri’ berikutan keadaan semasa yang menghampiri tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) dilihat sebagai punca pemimpin-pemimpin Melayu terus membisu dan langsung tidak mengulas mengenai isu anak-anak Loh Siew Hong.

Tidak mustahil juga, para pemimpin sebenarnya tidak begitu mengetahui isu ini.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, situasi berkenaan menyebabkan ahli politik tersebut lebih selesa untuk tidak memberi komen sebaliknya menyerahkan kepada kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menguruskannya.

“Pemimpin-pemimpin Melayu yang membisu ini kemungkinan disebabkan mereka takut untuk memberikan pandangan yang akhirnya dijadikan bahan politik.

“Dalam keadaan sekarang, pemimpin kini dilihat lebih selesa mendiamkan diri memandangkan mereka terpaksa menjaga hati semua kaum dan agama berikutan PRU semakin hampir.

“Saya rasa sindrom membisu ini tidak bermakna mereka menyokong ataupun tidak memahami dengan isu yang berlaku dalam keadaan kes ini tetapi ini melibatkan reputasi diri,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kebisuan pemimpin-pemimpin Melayu melibatkan kes pencabaran pengislaman anak-anak Loh Siew Hong.

Terbaharu, ibu kepada tiga remaja, Loh Siew Hong membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suaminya.

Pemohonan semakan kehakiman berkenaan difailkan oleh Loh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Shahbudin berpandangan, tidak sepatutnya isu-isu kritikal melibatkan akidah anak-anak dijadikan bahan politik.

“Sangat merugikan bagi pemimpin jika mereka merasakan isu ini sebagai politik sedangkan ia adalah kes undang-undang yang perlu diperbetulkan,” tegasnya.

Bagaimanapun, Shahbudin menaruh harapan agar isu ini dapat diselesaikan mengikut cara perundangan yang tepat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button