KPM digesa siapkan murid kompeten, hadapi realiti baharu pendidikan
iGuru mahu negara fokus pulih, bina daya tahan pendidikan pasca COVID-19
BANGI, 28 Jamadilawal 1443H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengharapkan fokus negara tahun baharu ini ditalakan kepada usaha memulih dan membina daya tahan pendidikan pasca pandemik COVID-19.
Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, perkara itu perlu dilaksanakan melalui Pelan Pemulihan Pendidikan yang bersifat komprehensif dan konstruktif.
Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menyiapkan generasi murid yang kompeten dan bersedia menghadapi realiti baharu pendidikan.
Katanya, ia termasuk berdepan era industri 4.0 (IR4.0), Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), digitalisasi pendidikan dan cabaran bidang VUCA iaitu Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity.
“Ini menuntut para guru bersedia dengan kompetensi diri dan bersedia berubah untuk masa depan pendidikan yang lebih baik dan mesra warga pendidik,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Ustaz Mohd Azizee mengingatkan, elemen keinsanan tidak diabaikan untuk membina ‘insaniyatul insan’ di kalangan murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah membina satu tamadun bangsa yang unggul.
“iGuru akan terus berjuang untuk memartabatkan makna pendidikan bukan sahaja daripada sudut fizikal tetapi yang lebih utama adalah inti dan roh pendidikan.
“Seluruh pendidik wajib menjadikan akal, jiwa dan otak mereka adalah otak dan jiwa mendidik,” katanya.
Tidak hanya itu, beliau berkata, iGuru juga akan terus menyuarakan dengan tegas isu yang melibatkan kepentingan pendidikan dan warga pendidik.
“iGuru juga akan berusaha menggerakkan usaha memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum demi mewujudkan satu aliran pendidikan demi perpaduan semua kaum.
“Semoga warga guru cekal dan istiqamah dalam melaksanakan tugas mendidik dan menta’dib murid. Selamat menempuh tahun baharu dengan semangat baharu, jiwa mendidik dan minda positif dan kreatif,” katanya.