Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tindakan tegas terhadap penjualan minyak bersubsidi kepada kenderaan asing

Pemantauan agresif di semua stesen minyak berdekatan negeri sempadan

BANGI, 1 Ramadan 1443H, Ahad – Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan, pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak terutama berdekatan dengan negeri bersempadan.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran OPS PANTAU 2022 hari ini.

“Selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, OPS PANTAU 2022 turut memastikan pematuhan yang tinggi oleh para peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara yang bermula 1 April 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk gambar tular mengaitkan sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.

Alexander berkata, berdasarkan aduan yang turut tular, kenderaan yang mempunyai plat nombor pendaftaran Singapura itu dikatakan mengisi minyak petrol menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki minyak petrol RON95 – iaitu minyak bersubsidi.

“Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta-merta.

“KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan, pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Katanya, undang-undang itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta terhadap perbadanan atau syarikat.

“Orang ramai adalah digalakkan untuk membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button