Berita UtamaDunia

26 Menteri Kabinet Sri Lanka letak jawatan beramai-ramai

Presiden Rajapaksa perlu sedar diri laksana pemerintahan autokratik

COLOMBO, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Semua Ahli Kabinet Sri Lanka meletak jawatan secara beramai-ramai kecuali Presiden dan abangnya yang juga Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, ketika ahli politik pemerintah berusaha menyelesaikan krisis ekonomi yang memuncak.

Menteri Pendidikan, Dinesh Gunawardena berkata, kesemua 26 dalam Kabinet selain Presiden, Gotabaya Rajapaksa dan abangnya, Mahinda Rajapaksa menghantar surat peletakan jawatan dalam mesyuarat malam tadi.

“Semua menteri menyerahkan surat peletakan jawatan mereka supaya presiden boleh membentuk Kabinet baharu,” katanya.

Katanya lagi, keputusan yang dibuat itu diambil selepas membincangkan krisis ekonomi yang semakin teruk.

Tiga lagi ahli keluarga Rajapaksa yang berkuasa adalah antara mereka yang meletakkan jawatan di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang melanda negara Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk itu.

Tindakan itu dibuat selepas ribuan rakyat menentang perintah berkurung hujung minggu lalu dalam usaha menuntut penyingkiran keluarga Rajapaksa, yang kembali berkuasa, November 2019.

Terdahulu, Samagi Jana Balawegaya (SJB), pakatan pembangkang utama Sri Lanka mengecam pemadaman media sosial yang bertujuan untuk memadamkan demonstrasi awam yang semakin sengit sambil berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan meletakkan jawatan.

“Presiden Rajapaksa perlu menyedari dirinya telah menghidupkan pemerintahan autokratik,” kata Ahli Parlimen SJB, Harsha de Silva kepada AFP.

Kini pasukan keselamatan terpaksa mengangkat senjata menghentikan protes oleh ahli politik pembangkang dan ratusan penyokong mereka yang cuba berarak ke Dataran Kemerdekaan ibu negara.

Sementara itu, seorang lagi ahli politik dari parti SLB, Eran Wickramaratne, mengutuk keputusan kerajaan yang mengisytiharkan darurat.

“Kami tidak sesekali membenarkan pasukan tentera mengambil alih pentadbiran negara kerana mereka perlu tahu keadaan masih berada dalam keadaan demokrasi,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button