4,735,101 murid menengah, rendah terlibat PdP bersemuka
KPM teliti bolehkan murid hadir ke sekolah tanpa giliran

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Seramai 2,060,997 pelajar sekolah menengah terlibat dalam sesi persekolahan secara bersemuka mulai hari ini, setelah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak awal sesi persekolahan 2022/2023.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, seramai 2,674,104 murid sekolah rendah juga mengikut PdP secara bersemuka menjadikan jumlah keseluruhan adalah 4,735,101 orang.
“Dalam masa sama, seramai 273,025 murid Tahun 3, 4 dan 5 bagi sekolah rendah dengan enrolmen lebih 600 murid masih hadir ke sekolah secara penggiliran.
“KPM sedang meneliti situasi semasa bagi membolehkan kumpulan murid ini dapat turut hadir ke sekolah tanpa penggiliran,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan meninjau pengoperasian beberapa buah sekolah di negeri Selangor pagi tadi, sempena hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua murid sekolah menengah.
“Terima kasih kepada murid, guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi keutamaan dalam aspek keselamatan agar pengoperasian sekolah secara bersemuka dapat terus berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.