Uncategorized

Berbuka puasa awal dianggap batal, wajib diganti semula

Pihak stesen perlu teliti supaya kejadian tak berulang

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Umat Islam yang berbuka lebih awal boleh dianggap terbatal puasanya dan menjadi kewajipan untuk diganti semula selepas Ramadan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sewajarnya umat Islam berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam hal ini.

“Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah pun tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam.

“Wajib diqada semula menurut jumhur ulama,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjelaskan, dalil kepada isu itu merujuk pelbagai sumber fiqh yang muktabar.

Sementara itu, beliau menerusi slot Bayan Linnas Siri ke-97 berkata, ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie serta majoriti besar daripada Hambali menyatakan batal puasa dan wajib qada.

Justeru, katanya pihak stesen penyiaran perlu lebih teliti supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku.

Beliau dalam masa sama menegaskan, dalam era serba moden, adalah mustahil tiada jam, jadual takwim atau aplikasi telefon pintar yang menyatakan waktu azan sebagai rujukan sebelum berbuka.

Terdahulu, tular di media tempatan mengenai kes stesen Tawau FM di Sabah tersilap menyiarkan azan Maghrib.

Penyampainya, Mohd. Safwan Junit yang bertanggungjawab mengendalikan siaran ‘Syoknya Hujung Minggu’ ketika insiden itu berlaku telah tampil memohon maaf.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button