Berita Utama

Isu anak Loh: Pemimpin Melayu Islam ada kuasa tapi pilih membisu

Tak melihat isu agama penting, seolah tiada apa berlaku

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Pemimpin politik negara dilihat tidak lagi meletakkan agama sebagai agenda utama perjuangan mereka.

Sebaliknya, isu berkaitannya lebih banyak diperjuang oleh rakyat yang memiliki tanggungjawab secara bersendirian.

Pengerusi Pertubuhan Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, ia sesuatu yang merugikan kerana kuasa pemerintahan terletak di tangan pemimpin Melayu Islam.

Katanya, sudah menjadi kewajipan bagi mereka untuk mempertahankan sebarang bentuk ancaman khususnya yang memberi kesan kepada akidah seseorang umat Islam.

“Mereka tidak melihat isu agama sesuatu yang penting dan ini terbukti melibatkan kes akidah anak-anak Loh Siew Hong, semua diam membisu seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Sedangkan ini melibatkan akidah, sepatutnya inilah peluang pemimpin-pemimpin kita bersatu menunjukkan kuasa besar kita, selari sebagai Islam agama Persekutuan.

“Namun sayangnya, hanya beberapa orang pemimpin sahaja yang tampil bersuara, selebihnya mereka lebih rela mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap membisu pemimpin politik negara khususnya dalam kalangan orang Melayu melibatkan kes pencabaran pengislaman anak-anak Loh.

Sebelum ini, Loh membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suami.

Pemohonan semakan kehakiman difailkan oleh Loh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan memberi amaran supaya pemimpin terbabit berubah kerana rakyat sedang memerhati.

Katanya lagi, jangan sampai rakyat menggunakan kuasa dan hak yang mereka miliki untuk menolak pemimpin seperti ini kerana dilihat gagal membela agama Islam.

“Kalau melibatkan isu perkauman masing-masing berlumba memberi maklum balas tapi melibatkan isu agama seperti ini semuanya takut, inilah hakikat politik sebenar.

“Inilah kuasa yang kita (ada), untuk nilai siapa pemimpin yang boleh diangkat sebagai pemimpin sebenar, selain layak membela nasib rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button