Berita Utama

Kuat kuasa segera pembelian petrol bersubsidi terhadap warga asing

Malaysia boleh rugi puluhan juta, ketirisan sangat besar

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Malaysia berisiko berdepan kerugian sehingga puluhan juta ringgit sekiranya kerajaan gagal menguatkuasakan pembelian petrol bersubsidi oleh warga asing di negara ini.

Keadaan itu bahkan menyebabkan negara berdepan dengan ketirisan yang sangat besar kerana menanggung subsidi bukan sekadar untuk rakyat tetapi juga warga asing.

Pengerusi Kebajikan Amal Sejagat, Mohd Nur Izzat Johari berkata, isu pembelian petrol bersubsidi dalam kalangan warga asing antara masalah yang sudah puluhan tahun timbul, namun dipandang sepi oleh pihak kerajaan.

“Bayangkan jika membeli petrol bersubsidi, rakyat Malaysia wajib mengimbas kad pengenalan seperti mana TnG yang sedia ada pada kad pengenalan masing-masing.

“Sekali gus akan menyukarkan warga asing untuk membeli petrol bersubsidi. Sama juga dengan pembelian gula bersubsidi, minyak masak bersubsidi dan apa sahaja bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Izzat berkata, pelbagai kaedah boleh dilakukan, malah katanya 64 tahun negara merdeka sudah cukup untuk menonjolkan pakar-pakar, termasuk sistem pengklasifikasi bagi membezakan warganegara atau warga asing.

“Sudah tiba masanya kad pengenalan baharu yang dilengkapi data dan maklumat lengkap bagi rakyat Malaysia untuk terus menerima manfaat subsidi kerajaan dan sekali gus mengekang kad pengenalan palsu, warga asing dan pendatang tanpa izin.

“Kad pengenalan yang mempunyai imbasan RFIS untuk dimasukkan dalam setiap resit pembelian apa sahaja produk dan perkhidmatan bersubsidi.

“Selain mengandungi maklumat pasport dan maklumat kesihatan lengkap beserta maklumat pendidikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya sebarang projek ‘kad pengenalan’ tidak berlaku kebocoran data rakyat Malaysia atau mudah untuk dipalsukan, memandangan industri penjualan data maklumat dilihat meruncing ketika ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak terutama berdekatan dengan negeri bersempadan.

Ini susulan gambar tular mengaitkan  sebuah kenderaan dengan plat nombor negara sempadan yang dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button