Berita UtamaDunia

Mesir kutuk tindakan keganasan berterusan Israel di Masjid al-Aqsa

Ahli Parlimen Israel dakwa Hamas, Waqf Muslim yang tadbir tapak masjid sebagai ‘pengganas’

BAITULMAQDIS, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Mesir secara tegas mengutuk tindakan keganasan negara haram Israel yang berterusan di wilayah Palestin termasuk peneroka Israel yang menyerbu Masjid al-Aqsa.

Menerusi kenyataan semalam, Kementerian Luar Mesir menggesa serangan dihentikan serta-merta terutama sepanjang bulan Ramadan.

Jurucakap kementerian, Ahmed Hafez memberi amaran keganasan itu bukan sahaja menghalang kestabilan yang diingini tetapi akan menyebabkan ketegangan berterusan.

Hafez turut menekankan keperluan kepada semua supaya mematuhi perundangan antarabangsa bagi menyediakan perlindungan yang diperlukan oleh penduduk Palestin.

Beliau dalam masa sama turut menggesa Israel supaya menghentikan segala keganasan yang melanggar kesucian Masjid al-Aqsa serta identiti Baitulmaqdis.

Khamis lalu, Ahli Parlimen negara haram, Israel Itamar Ben Gvir bersama beberapa lagi peneroka yahudi menyerbu Masjid al-Aqsa.

Malah, semalam, puluhan peneroka Israel sekali lagi menyerbu masjid berkenaan dengan kawalan ketat pasukan keselamatan, hari pertama umat Islam menyambut Ramadan, lapor agensi berita WAFA.

Dalam lawatan berkenaan, Itamar secara keras berkata, Israel tidak sesekali membiarkan pengganas berkuasa di tanah mereka dan mereka akan terus berkuasa di kawasan berkenaan.

Beliau menyifatkan Pergerakan Hamas dan Waqf Muslim yang mentadbir tapak masjid berkenaan sebagai ‘pengganas’.

Mei tahun lalu, beliau turut melakukan lawatan sama ke kawasan Masjid al-Aqsa bagi memantau kawasan berkenaan selain pernah mengetuai perarakan ke kawasan kejiranan Sheikh Jarrah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button