Berita Utama

MOTAC buka semula permohonan bantuan kewangan kepada pengusaha pelancongan

Permohonan dibuka mulai hari ini hingga 15 April mampu beri manfaat pada 20,000 pengusaha

BANGI, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membuka semula tempoh permohonan Bantuan Kewangan Tahun 2022 kepada pengusaha pelancongan yang tidak berkesempatan berbuat demikian sebelum ini.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan, bantuan kewangan berkenaan dibuka bermula hari ini sehingga 15 April.

“Kerajaan melalui Bajet 2022 mengumumkan pemberian Bantuan Khas Tahun 2022 itu kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan termasuk kepada syarikat pengendali pelancongan (TOBTAB), syarikat Malaysia My Second Home (MM2H).

“Manakala spa serta pusat urut kaki yang berdaftar di bawah MOTAC pula diberikan peruntukan sebanyak RM85 juta.

“Kita menyeru syarikat-syarikat TOBTAB, MM2H dan spa serta pusat urut kaki yang layak mengambil peluang untuk mengemukakan permohonan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, permohonan bantuan berkenaan dibuka pada 1 hingga 15 Mac lalu bagaimanapun didapati ramai pengusaha pelancongan mengeluh dan mengakui belum berpeluang untuk memohon.

Pemilik-pemilik syarikat yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan berkenaan boleh membuat permohonan tersebut di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my dan sebarang pertanyaan juga boleh dikemukakan kepada pejabat MOTAC negeri berdekatan.

“Sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tutup permohonan iaitu selepas 15 April 2022 tidak akan dilayan,” menurut MOTAC.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button