Berita UtamaDunia

Putera Hamzah lepas gelaran Putera Raja Jordan

Pengumuman dibuat selepas sebulan memohon maaf kepada Raja Abdullah

AMMAN, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Bekas Putera Mahkota Jordan, Putera Hamzah bin Al Hussein melepaskan gelaran diraja yang disandang selama ini berikutan didakwa terlibat dalam rancangan rampasan kuasa terhadap abang tirinya, Raja Abdullah II.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitter, Hamzah mengumumkan untuk melepaskan gelaran yang dipakai sejak 1999, sebulan selepas kenyataan mahkamah diraja menyatakan beliau memohon maaf kepada kepada Raja Abdullah.

“Selepas apa yang saya saksikan sejak beberapa tahun lalu, saya telah membuat rumusan dan pendirian peribadi dan nilai yang ayahanda tanamkan dalam diri saya tidak selaras dengan pendekatan, trend atau kaedah moden institusi diraja hari ini.

“Saya mendapat penghormatan besar untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tercinta dalam kapasiti ini sepanjang hidup dan akan terus setia kepada Jordan yang dicintai,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

8 Mac lalu, Mahkamah Diraja berkata, Hamzah bertanggungjawab dengan semua tindakan dan kesalahannya terhadap Jordan dan Raja Abdullah sejak beberapa tahun lalu, termasuk insiden dalam kes hasutan.

April lalu, pihak berkuasa Jordan mengumumkan pihaknya telah menggagalkan usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan bersekutu Barat, sekali gus menandakan krisis yang jarang berlaku dalam kerajaan yang dilihat sebagai tonggak kestabilan di rantau itu.

Hamzah yang tidak diangkat sebagai pewaris takhta pada 2004 menuduh pemerintah Jordan terlibat dengan rasuah.

Manakala pada Julai tahun lalu, Mahkamah Jordan menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun kepada bekas Ketua Mahkamah Diraja, Bassem Awadallah dan bekas utusan ke Arab Saudi, Sharif Hassan bin Zaid, sehingga 15 tahun berikutan bersalah dalam plot berkenaan.

Hamzah bagaimanapun tidak didakwa dalam perbicaraan berkenaan, tetapi kertas pertuduhan menyatakannya bertekad memenuhi cita-cita peribadinya untuk memerintah, melanggar perlembagaan dan adat Bani Hashim.

Raja Abdullah melantik Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 atas permintaan Allahyarham ayahandanya, Raja Hussein, namun memecatnya pada 2004.

Raja Abdullah kemudian menamakan anaknya, Putera Hussein, sebagai barisan seterusnya untuk takhta Bani Hashim. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button