Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Rosmah timbulkan keraguan munasabah walau tak panggil Najib sebagai saksi

Berhubung kes rasuah membabitkan projek solar hibrid

KUALA LUMPUR, 2 Ramadan 1443H, Isnin – Datin Seri Rosmah Mansor telah menimbulkan keraguan munasabah dalam kes rasuahnya membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak walaupun suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dipanggil memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Pasukan pembelaan dalam hujahan bertulisnya berkata ia memilih untuk tidak memanggil Najib sebagai saksi pembelaan kerana keterangannya hanya bersifat menyokong.

“Kami dengan hormatnya berhujah bahawa adalah hak prerogatif pihak pembelaan untuk memanggil saksi yang ditawarkan, Najib untuk memberi keterangan di hadapan mahkamah. Bagaimanapun pada 10 Januari, peguam utama pihak pembelaan, Datuk Jagjit Singh telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memutuskan untuk menarik balik selepas membincangkan merit memanggil Najib dan memilih untuk tidak memanggilnya kerana keterangannya hanya bersifat menyokong.

“Pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata pihak pendakwaan tiada masalah dengan keputusan pembelaan untuk tidak memanggil Najib kerana ia adalah hak prerogatif pembelaan untuk berbuat demikian,” kata pihak pembelaan dalam hujah bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac.

Dalam penghujahan di akhir kes pembelaan, pihak pembelaan berkata pihak pendakwaan telah gagal mengemukakan bukti bahawa tertuduh (Rosmah) sememangnya telah meminta dan menerima sebarang suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Ia seterusnya berkata pihak pendakwaan terus mendapati tertuduh bersalah tanpa sebarang asas dan bukti walaupun pihak pendakwaan sendiri mengakui tertuduh tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

“Oleh itu, kami berhujah bahawa adalah jelas bahawa dakwaan dan pertuduhan terhadap tertuduh adalah remeh, dilakukan dengan tujuan semata-mata untuk menjadikan tertuduh sebagai kambing hitam.

“Justeru, anggapan statutori di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak boleh digunakan terhadap tertuduh kerana pihak pendakwaan gagal mewujudkan bahan penting bagi ketiga-tiga pertuduhan dalam kes ini,” hujah pihak pembelaan.

Pada 23 Februari tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok (5 April) untuk mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan.

Pada 18 Februari tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button