Berita UtamaDunia

Cadangan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN perlu kajian, perbahasan lanjut

Indonesia dakwa bahasa ibundanya lebih layak dikedepankan kerana sejarah, undang-undang dan linguistik, penggunaanya meluas di Asia Tenggara

JAKARTA, 3 Ramadan 1443H, Selasa – Cadangan supaya bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa ASEAN perlu kajian dan perbahasan lebih lanjut, kata Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim.

Beliau berkata, kementeriannya bertanggungjawab mengembang, membina dan melindungi bahasa dan sastera Indonesia, serta meningkatkan fungsi bahasa Indonesia sebagai bahasa antarabangsa.

“Saya sebagai menterinya tentu menolak usulan itu.

“Namun, kerana ada keinginan negara sahabat kita mengajukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, tentu keinginan itu perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut di peringkat serantau,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Indonesia akan terus memperkasakan bahasa rumpun Melayu agar dijadikan sebagai bahasa ASEAN.

Dalam sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo, Ismail Sabri berkata, kedua-dua negara sepakat menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara di setiap persidangan antarabangsa.

Menurut Nadiem, bahasa Indonesia lebih layak dikedepankan kerana sejarah, undang-undang dan linguistik, serta penggunaanya yang meluas di Asia Tenggara dan tersebar ke 47 negara.

Pembelajaran bahasa Indonesia untuk Penutur Asing (BIPA) telah diselenggarakan oleh 428 agensi termasuk di bawah kementeriannya, serta lembaga dan penggiat BIPA di seluruh dunia.

Bahasa Indonesia turut menjadi mata pelajaran di beberapa kampus di Eropah, Amerika Syarikat, dan Australia, serta pusat-pusat perguruan tinggi di Asia.

Fasal 36 Undang-undang Dasar Republik Indonesia menyatakan bahasa negara adalah bahasa Indonesia, jelas Nadiem. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button