Berita Utama

Struktur pengambilan PDI dikaji setiap 3 bulan

MoU PDI dapat jimatkan kos pengambilan pekerja sebanyak RM2,000 hingga RM3,000

BANGI, 3 Ramadan 1443H, Selasa – Struktur kos pengambilan Perkhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dikaji oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Indonesia dalam tempoh setiap tiga bulan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, tindakan berkenaan bagi memastikan struktur kos seiring dengan keperluan semasa, selain mengambil kira perubahan kadar tambang pengangkutan dan kos ujian kesihatan.

“Struktur kos pengambilan PDI yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman berhubung Pengambilan dan Perlindungan Perkhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) telah merangkumi 15 komponen kos di Malaysia dan Indonesia.

“Antaranya komponen kos di Malaysia termasuklah Deposit Keselamatan Imigresen, insurans, pemeriksaan kesihatan, levi dan permit kerja.

“Bagi komponen kos di Indonesia pula antaranya seperti pasport, visa kerja, sijil kesihatan, sijil kompetensi dan ujian psikologi, dan semua kos pengambilan PDI adalah di bawah tanggungan majikan selaras dengan garis panduan Fair Recruitment Initiative yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, MoU PDI yang ditandatangani baru-baru ini merupakan penambahbaikan daripada MoU sebelum ini yang hanya menggariskan komponen yang terbabit tanpa menetapkan kadar harga.

“Sebelum ini, pelbagai masalah timbul dalam pelaksanaan MoU berikutan struktur kos yang tetap dan terlampau rendah berbanding pasaran semasa yang menyebabkan majikan terpaksa membayar lebih bagi dapatkan khidmat PDI.

“Menerusi MoU tersebut majikan dapat menjimatkan kos pengambilan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 berikutan tiada lagi keperluan kuarantin bagi PDI kecuali bagi mereka yang positif semasa ujian saringan COVID-19 dilakukan di negara ini,” katanya.

Jumaat lalu, pemeteraian MoU PDI ditandatangani Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah serta disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button