Berita Utama

Lebih 50 peratus kenderaan masuk ke Melaka sempena Aidilfitri

Aliran trafik di laluan pintu masuk ke negeri tunjuk peningkatan selepas negara masuk Fasa Peralihan ke Endemik

MELAKA, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Polis Melaka menjangkakan pertambahan 50 peratus daripada purata 45,000 kenderaan memasuki negeri itu di ketiga-tiga plaza tol menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, menerusi pemantauan aliran trafik di laluan pintu masuk ke negeri berkenaan juga menunjukkan peningkatan selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April membabitkan 45,203 kenderaan berbanding 31 Mac (31,145 kenderaan).

“Kita percaya kemasukan kenderaan terus meningkat sehingga Aidilfitri nanti berdasarkan kedudukan Melaka sebagai negeri tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa di samping rakyat negara ini yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya dan bercuti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Lambuk yang disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.

Program berkenaan dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan AMES Hotel bagi menghebahkan kepada masyarakat mengenai peranan orang ramai untuk memastikan keselamatan harta benda ketika musim perayaan.

Razali berkata, walaupun negara telah membuka pintu sempadan namun polis juga ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana pasukan pemantau SOP masih lagi berkuat kuasa dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar.

“Selain itu polis Melaka juga sentiasa bersiap-siaga di samping akan membuat penyusunan semula pasukan pematuhan supaya penugasan dalam kalangan anggota dapat dipertingkatkan khususnya di kawasan tumpuan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis Melaka belum memberi kelulusan permit menjual bunga api dan mercun walaupun menerima kira-kira 20 permohonan daripada penjual di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sempena Hari Raya.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti syarat-syarat ditetapkan berkaitan penjualan mercun termasuk mengkaji kesesuaian tempat dan lokaliti dibenarkan di samping meneliti bekalan didapati daripada pengedar sah, selain mendapat kebenaran berniaga dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menepati jenis bunga api dibenarkan seperti ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’.

“Penjualan di luar kawasan selain tempat dibenarkan adalah dilarang sama sekali seperti di kaki lima rumah dan premis kedai atau sebagainya, sememangnya ada dalam permohonan tapi kita tidak benarkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button