Berita UtamaDunia

6 cedera serangan bom tangan di masjid Kabul

Suspek ditahan sejurus serangan selepas solat Zohor

KABUL, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam letupan bom tangan di sebuah masjid di Kabul – ibu negara Afghanistan -, kata polis beberapa minit selepas jemaah menunaikan solat Zohor.

Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran memberitahu AFP bahawa sebutir bom tangan dilemparkan ke dalam masjid Pul-e-Khisti dan seorang suspek telah ditahan di lokasi kejadian.

Masjid itu terletak di kawasan Kabul yang padat dengan penduduk dan dikelilingi oleh kedai dan pasar yang sibuk.

“Kami telah selesai solat dan sedang keluar dari masjid apabila letupan berlaku,” kata seorang jemaah, Mohammed Yasin kepada AFP.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam serangan berkenaan, bagaimanapun Kumpulan Daesh Khorasan (IS-K) telah melakukan serangan baru-baru ini di Kabul dan beberapa bandar lain.

IS-K mengaku bertanggungjawab serangan ke atas hospital tentera di Kabul pada November lalu yang menyebabkan 19 maut serta serangan berani mati pada Oktober lalu di sebuah masjid Syiah di Kandahar yang menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh.

Pegawai Taliban menegaskan tentera mereka telah mengalahkan kumpulan itu, namun menurut penganalisis, IS-K adalah cabaran keselamatan utama kepada pemerintah baharu Afghanistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button