Berita Utama

Bantuan khas Aidilfitri minimum RM1,000 di Negeri Sembilan

Pembayaran akan dibuat pada 15 April babit 4,050 penjawat awam

SEREMBAN, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentabdiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut melibatkan 4,050 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

“Ia akan dibayar pada Jumaat depan (15 April). Pemberian BKK ini juga sebagai usaha meringankan beban kewangan penjawat awam di bawah kerajaan negeri dalam menghadapi persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. 

Beliau berharap bantuan itu dapat memberikan motivasi kepada mereka melaksanakan tugas dengan baik dan terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada negeri.

BKK itu juga, katanya, dapat merancakkan ekonomi di negeri ini selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022 ‘Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat’.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) telah menghantar tangki statik di kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air terawat semalam di beberapa kawasan di Port Dickson termasuk Bandar Springhill dan Chuah serta Kuala Klawang, Jelebu.

“Ia berikutan kadar kekeruhan air sungai di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terlalu tinggi apabila berlakunya hujan lebat di sekitar Seremban hingga loji tidak dapat memproses air mentah dari sungai tersebut. Kita akan berusaha memastikan masalah ini tidak berulang terutama menjelang perayaan nanti,” katanya.

Pada 2 Mac lepas, kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM25 juta bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat di Port Dickson berikutan kekerapan berlaku gangguan bekalan air di sekitar daerah tersebut.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button