Berita Utama

‘DAP tak perlu meroyan, dulu pun sanjung bulan’: MCA

Howard cuba pertikai kewujudan PAS, tuduh ketepi Perlembagaan jika berkuasa

KUANTAN, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker meminta DAP supaya tidak meroyan dan menuduh MCA sebagai pemuja PAS serta memberikan kuasa kepada parti tersebut.

Ti berkata, sebagai parti sederhana, ia akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja malah DAP untuk mencapai matlamat dengan menjadikan Perlembagaan dan nilai-nilai murni sebagai asas.

“Saya terkejut kenyataan saya bahawa MCA akan bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat dan negara boleh dijadikan alasan oleh DAP untuk memperlekehkan dan mengaibkan PAS serta mendakwa MCA mengagungkan PAS.

“Saya rasa sikap dia sangat tidak baik. DAP tak perlu meroyan kerana dulu mereka pun menyanjung ‘bulan’ dan sekarang menyalak ‘bulan’ pula,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Ti berkata demikian susulan kenyataan ADUN Pasir Pinji dari DAP, Howard Lee yang mengecam Ti kononnya mengagung-agungkan parti ekstremis, tunduk kepada agendanya dan memberikannya kuasa dan keutamaan dengan mengorbankan partinya sendiri.

Ti berkata, Howard cuba mempertikaikan kewujudan PAS dan menuduh parti Islam itu sanggup mengenepikan Perlembagaan jika ia berkuasa.

“DAP lupa bahawa ia telah berkahwin, bercerai dan berkahwin semula dengan PAS beberapa kali, malah ia membantu melantik ADUN PAS sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.

“DAP pernah beritahu pengundi Cina supaya jangan takut dengan PAS.

“Setiausaha Agung DAP sekarang, Anthony Loke pernah berkata, ‘Jika kita tidak mencuri dan merompak, jangan takut dengan perjuangan PAS.’  

“Kenapa DAP tiba-tiba menyalak bulan sedangkan kenyataan saya langsung tidak menyebut atau merujuk kepada PAS sepanjang sesi bersama media di Kuantan?,” soal Ti.

Semasa sidang media pada satu majlis di sini pada Sabtu (2 April), Ti ditanya mengenai hubungan MCA dengan PAS, yang menjawab bahawa MCA tidak pernah mengenepikan kerjasama dengan parti lain selagi ia selaras dengan Perlembagaan, nilai-nilai murni dan demi rakyat dan negara.

Howard pula mendakwa MCA terlibat dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan pada 2020.

PAS – yang bekerjasama dengan Bersatu dan BN – kemudian menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Howard berkata, kenyataan timbalan menteri belia dan sukan itu menunjukkan MCA bersedia untuk bergantung kepada PAS selagi mereka dapat berkuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button