Berita UtamaDunia

Israel bertanggungjawab keganasan terhadap rakyat Palestin di bulan Ramadan

Peneroka haram dibenar bawa senjata, bunuh warga Palestin tanpa sebab kukuh

BAITULMAQDIS, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Peningkatan keganasan negara haram Israel dan penganiayaannya terhadap rakyat Palestin dengan membenarkan serangan pelampau di bandar Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa yang diduduki menimbulkan risiko keselamatan di wilayah itu.

Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh berkata, masyarakat antarabangsa mesti menghentikan serangan tentera dan pelampau Israel, kerana dipercayai orang kanan rejim Zionis mungkin merancang untuk menyerbu Masjid al-Aqsa lagi semasa Ramadan, lapor agensi berita Wafa.

“Peningkatan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk pembunuhan, penyeksaan, penangkapan dan membenarkan peneroka melakukan jenayah, menimbulkan risiko besar kepada keselamatan dan kestabilan di rantau itu.

“Israel membenarkan peneroka membawa senjata dan membunuh rakyat Palestin hanya kerana mereka disyaki,” kata Shtayyeh semasa mesyuarat Kabinet mingguannya.

Jemaah Palestin secara rutin dilarang memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa, manakala aktivis dan peneroka Israel berhaluan kanan dibenarkan berarak masuk di bawah perlindungan polis rejim bersenjata serta tentera pendudukan.

Shtayyeh berkata, beliau menganggap Israel ‘bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat serius daripada peningkatan ini.’

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam turut mengecam peningkatan serangan ganas harian Israel terhadap rakyat Palestin.

Organisasi itu menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk memaksa Israel mematuhi prinsip undang-undang, perjanjian dan konvensyen antarabangsa, menghentikan serangan berbahayanya terhadap rakyat Palestin serta memastikan perlindungan antarabangsa untuk mereka.

Rayuan itu dibuat selepas tentera Israel menyerbu Pintu Damsyik, salah satu pintu di Kota Lama Baitulmaqdis Timur yang diduduki, pada malam Ahad untuk malam kedua berturut-turut, menahan 13 rakyat Palestin dan mencederakan 20 yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button