Berita UtamaDunia

Israel pengeksport senjata ke-10 terbesar di dunia

Penerima utama senjata dari Israel ialah India, Azerbaijan dan Vietnam

TEL AVIV, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Israel telah menjadi pengeksport senjata antarabangsa ke-10 terbesar sejak lima tahun lalu, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.

Mengukur perdagangan senjata dari 2017 hingga 2021 dalam laporan terbaharunya, badan pemikir keselamatan global bebas di Sweden itu mendedahkan, bahawa bahagian pasaran Eropah telah meningkat hasil daripada peningkatan dalam permintaan dari negara-negara Teluk.

Negara haram Israel menyumbang 2.4 peratus daripada eksport senjata antarabangsa dalam tempoh itu, dengan penerima utama ialah India, Azerbaijan dan Vietnam.

Manakala Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pengeksport senjata terbesar dunia, menyumbang 38.6 peratus daripada jualan, diikuti Russia (18.6 peratus), Perancis (10.7 peratus), China (4.6 peratus) dan Jerman (4.5 peratus).

Lima pengeksport yang lain ialah Itali, United Kingdom (UK), Korea Selatan, Sepanyol dan Israel.

Satu-satunya negara Timur Tengah lain dalam 25 pengeksport senjata teratas ialah Turki di tempat ke-12, Emiriah Arab Bersatu (18) dan Jordan (25).

Jumlah eksport Israel dilaporkan menurun sebanyak 5.6 peratus antara 2017 dan 2021, berbanding lima tahun sebelumnya.  

Tel Aviv berada di tempat ke-14 dari segi import senjata, menyumbang 1.9 peratus daripada bahagian global.  

92 peratus import Israel datang dari AS, kebanyakannya jet F-35 dan bom berpandu, diikuti penghantaran dari Jerman dan Itali. Jerman membekalkan kapal selam Israel.

Pandemik coronavirus, yang telah melanda rantaian bekalan di seluruh dunia, mempunyai kesan yang sangat kecil terhadap perdagangan senjata, tambah laporan itu.

Laporan itu dikarang menggunakan Pangkalan Data Pemindahan Senjata SIPRI, yang mempunyai maklumat tentang semua pemindahan senjata konvensional dari tahun 1950 hingga 2021. Pangkalan data terakhir dikemas kini pada 14 Mac dan termasuk pengeksport senjata terbesar pada 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button