Berita Utama

Ketua jabatan bertanggungjawab laksana perintah mahkamah kes tuntutan nafkah

Terutamanya arahan pemotongan gaji yang diputuskan

KUALA LUMPUR, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Ketua jabatan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perintah terutamanya arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah ke atas penjawat awam di bawah seliaan mereka, khususnya dari aspek pembayaran nafkah.

Menerusi surat edaran ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan masalah penceraian.

“Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Hari Wanita, mengumumkan bahawa dalam membantu golongan wanita yang terkesan disebabkan isu penceraian, kerajaan telah meminda Akta Pembiayaan Kewangan yang membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Selaras pindaan itu, pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan melibatkan wang ringgit di mahkamah melalui kaedah dikenali sebagai Hiwalah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button