Berita Utama

PBT ada kuasa kawal, letak syarat ketat penjualan arak

Kempen 'Malaysia Sejahtera Tanpa Arak' alu-alukan sokongan kerajaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengalu-alukan sokongan kerajaan untuk terlibat sama menjayakan Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’.

Pengarah kempen, Ustaz Abdullah Hussen berkata, setakat ini masih belum kelihatan mana-mana pihak dalam kerajaan yang begitu serius untuk menangani isu membabitkan minuman keras.

Beliau yakin sekiranya semua undang-undang membabitkan minuman keras dikuatkuasakan, ia mampu mengawal penjualan arak daripada tersebar luas.

“Contohnya daripada dijual di kedai serbaneka dan runcit, sebenarnya penguatkuasaan itu lemah.

“Kita bukan minta kilang arak itu ditutup. Itu yang terbaik, namun kita faham situasi sekarang macam mana. Jadi yang kita minta supaya dikuatkuasakan undang-undang sedia ada.

“Kalau undang-undang sedia ada dikuatkuasakan dengan sebetulnya, itu sahaja pun sudah cukup mengawal (jualan) arak daripada berleluasa,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) ada kuasa untuk mengawal dan meletakkan syarat yang lebih ketat untuk menjual arak.

Namun katanya, ia bergantung pada setiap PBT.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan kempen itu bukan untuk menafikan hak bukan Islam.

Bagaimanapun tegasnya, sekiranya sesuatu tindakan itu menyusahkan orang lain sehingga ke tahap mengancam nyawa itu bukan dikira sebagai hak.

“Mana-mana agama tidak mengatakan itu sebagai hak, sebaliknya ia satu jenayah,” tegasnya.

Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ dilancarkan pada 5 Februari lalu adalah anjuran bersama ISMA dan Yayasan Maghfirah, yang bukan hanya disasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Kempen itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Setakat jam 3 petang tadi, petisyen yang dilancarkan menerusi laman change.org berjaya mengumpulkan 16,273 tanda tangan.

Pautan petisyen; https://www.change.org/p/sejuta-rakyat-bantah-arak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button