Berita Utama

Pengecualian tol Tambak Johor, Tanjung Kupang tamat esok

Operasi kutipan tol dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor sempena pembukaan semula laluan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat lepas akan tamat esok.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi kutipan tol akan dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini (8 April) dan pengguna dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif dan mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.

“Pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID (tag Identifikasi Frekuensi Radio) untuk sistem VEP (Permit Masuk Kenderaan) turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang,” menurut kenyataan itu. 

Pada 30 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April. 

Pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua).

Menurut kenyataan itu, bagi pemandu Singapura yang bercadang untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go di Johor, mereka boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua selain pusat tambah nilai di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.

“Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go. Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.

“Pelanggan lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan terdapat lebih 120 anggota PLUSRonda ditempatkan di jajaran lebuh raya di Johor bagi memberi bantuan kepada pengguna yang memerlukan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button