Berita Utama

Pengurusan 1MDB jemput Jho Low hadiri mesyuarat sulit pada 2009: Saksi

Tiada persoalan dibangkit bagaimana, tujuan ahli perniagaan dalam buruan dijemput

KUALA LUMPUR, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dijemput oleh pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menghadiri mesyuarat lembaga pengarah khas syarikat yang diadakan pada 26 September 2009.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 58, berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB) mungkin telah menjemput Jho Low menghadiri mesyuarat sulit tersebut.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak, yang menghadapi pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh itu turut dihadiri Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Shahrol Azral, Tan Sri Azlan Zainol, Casey Tang dan saksi itu sendiri.

Ismee yang dirujuk dengan minit mesyuarat tersebut, bersetuju bahawa tiada persoalan dibangkitkan atau yang mempersoalkan bagaimana Jho Low dijemput dan atas apa tujuan.

“Saya ingat sebelum mesyuarat bermula, kami ada bercakap mengenainya, dan dari perspektif saya kehadiran beliau pada masa itu adalah untuk menjelaskan kepada lembaga pengarah mengenai cadangan usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI),” katanya.

Muhammad Shafee: Jho Low nampaknya tidak mengeluarkan sepatah kata pun sepanjang mesyuarat itu, kerana jika tidak penjelasannya akan direkodkan dalam minit ini.

Ismee menjawab: “Ya”.

Ketika ditanya mengenai perjanjian usaha sama AS$1 bilion dengan PSI, saksi itu berkata beliau diberi “tanggapan” bahawa bekas perdana menteri itu mahu lembaga pengarah meneruskan JV tersebut.

Beliau berkata Mohd Bakke, bekas pengerusi 1MDB telah memberitahu pengarah-pengarah bahawa beliau telah bercakap dengan Najib melalui telefon sebelum mesyuarat 26 September 2009.

“Apa yang saya boleh ingat adalah Mohd Bakke memberitahu kami bahawa ‘PM mahu kami melakukan perkara ini (usaha sama PSI)’,” katanya.

Muhammad Shafee kemudian menyoal Ismee sama ada Mohd Bakke telah menyebut perkataan seperti “Jangan ambil masa terlalu lama melihat transaksi sebelum ini”.

Ismee berkata, Mohd Bakke tidak memberitahu butiran panggilan telefonnya dengan Najib.

“Pada asasnya, Mohd Bakke berkata, lembaga pengarah perlu membuat keputusan (mengenai PSI),” katanya.

Minggu lepas, dalam perbicaraan melibatkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang dihadapi Najib, Mohd Bakke memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya melalui telefon supaya tidak mengambil terlalu banyak masa melihat urus niaga lepas dan hanya memberi tumpuan kepada cadangan JV antara 1MDB dan PSI.

Ketika prosiding hari ini, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa apa yang diberitahu oleh Mohd Bakke kepada Ismee dan yang lain di dalam bilik mesyuarat itu adalah “bukan apa yang diberitahu oleh perdana menteri ketika itu kepadanya (Mohd Bakke).

“Beliau (Mohd Bakke) mungkin mahu menarik perhatian lembaga pengarah,” kata peguam itu.

Ismee berkata, hanya Mohd Bakke yang boleh memberi keterangan mengenai perbualan telefonnya dengan Najib.

Sementara itu, seorang lagi saksi, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir berkata, beliau tidak pernah mengesahkan arahan yang diterima daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias, yang dikatakan datang terus daripada Najib sendiri.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh merujuk Azmi kepada sebahagian kenyataan saksinya yang menyatakan beliau berjanji untuk melaksanakan dan menandatangani beberapa dokumen berkaitan usaha sama antara bank BSI dan 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL) pada Mac 2013.

Bagaimanapun, Azmi berkata, kebanyakan arahan Azlin hanya secara lisan atau mesej teks dan ia tidak pernah ditulis dalam dokumen yang betul.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa beliau tidak pernah mengesahkan arahan itu dengan Najib kerana menganggap apa sahaja yang datang daripada Azlin adalah arahan Najib.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button