Penjawat awam Kedah dapat bantuan khas Aidilfitri RM1,000
Kelulusan babit semua kakitangan dengan peruntukan RM5.35 juta

ALOR SETAR, 4 Ramadan 1443H, Rabu – Kerajaan Negeri Kedah menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri itu sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelulusan itu akan melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.35 juta.
Selain itu, beliau berkata Mesyuarat Exco juga meluluskan bantuan khas hari raya kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri ini yang melibatkan 2,050 penerima dengan peruntukan RM307,500.
“Ia akan disalurkan melalui Pusat Khidmat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) masing-masing,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini.- Bernama