Selangor tawar Rumah Idaman bernilai RM250,000 bantu golongan B40
Pangsapuri berkeluasan 1,000 kaki persegi akan dibangunkan di Seksyen U8, Bukit Jelutong

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Golongan B40 di Selangor kini berpeluang memiliki rumah pertama dengan tawaran harga RM250,00 selepas kerajaan negeri mengumumkan pembinaan Rumah Idaman.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi itu merupakan inisiatif kerajaan Selangor dengan kerjasama Nadicergas, pemaju terkemuka dan berpengalaman luas membangunkan perumahan di Lembah Klang.
Projek tersebut akan dibangunkan di Seksyen U8, Bukit Jelutong.
Ia diyakini mampu memenuhi citarasa dan keperluan perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri tersebut.
“Rumah Idaman sangat berbeza dengan rumah mampu milik lain kerana harganya jauh lebih rendah terutama di Lembah Klang,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.
Amirudin menegaskan, usaha tersebut dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di Selangor berpeluang mendiami rumah lebih selesa.
Beliau memaklumkan, Rumah Idaman dibina dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap ruang rumah mereka selain turut disediakan balkoni untuk melihat persekitaran dan menghirup udara segar.
Di samping itu, bagi setiap unit ini akan disediakan dua parkir kereta dan ia berbeza dengan pangsapuri biasa yang menyediakan satu sahaja parkir percuma.
Lebih menarik, pembinaan rumah idaman berkenaan turut dilengkapi kabinet pakaian dan penyaman udara, manakala setiap bilik air turut sediakan pemanas air.
Katanya lagi, bagi pemilik Rumah Idaman, ruangan dapur mereka turut dilengkapi kabinet dapur dan peti sejuk, manakala di ruang tamu pula dilengkapi kabinet dan televisyen 32 inci.
“Pada awal pelancaran Rumah Idaman sememangnya merancang supaya ia dibina berdekatan dengan kemudahan awam, pengangkutan, rumah ibadah dan pusat membeli-belah.
“Projek dibina ini merupakan perbandaran baharu yang matang dan mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan antaranya berhubung dengan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), selain berdekatan dengan institusi pendidikan seperti universiti, sekolah menengah dan rendah,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lanjut Rumah Idaman boleh melayari www.platselangor.com.