Berita Utama

RUU Lompat Parti perlu ada peruntukan hilang kerusi, kelayakan jika disalahi

Pindaan Perlembagaan kini tidak bagi kuasa yang jelas

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Satu peruntukan jelas tentang hilang kelayakan atau kerusi perlu disediakan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ia bagi memastikan RUU itu kelihatan tegas, berkesan dan mampu menghalang masalah tidak bermoral ahli politik melompat parti demi kepentingan tersendiri.

Cadangan itu dinyatakan oleh Pakar Perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau berkata, buat masa ini RUU berkenaan masih belum jelas dan peruntukan seperti yang dicadangkan penting dalam membendung masalah melompat parti.

“Kesan lompat parti perlu ada undang-undang lain yang lebih jelas dengan menyatakan jika lompat parti maka dengan sendiri akan hilang kelayakan dan kerusi.

“Namun, kini pindaan Perlembagaaan hanya memberi kuasa kepada Parlimen untuk buat undang-undang Anti Lompat Parti. Pindaaan tersebut tidak memberi kuasa yang jelas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu tidak dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.

Mengulas lanjut, Prof Nik Ahmad Kamalbeliau berkata, penangguhan mungkin disebabkan oleh ruang lingkup atau kandungan pindaan masih belum mencapai persetujuan dan perlu disemak semula bagi memantapkannya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, usaha untuk melihat RUU itu direalisasikan merupakan satu perjalanan yang jauh dan panjang.

Katanya, RUU berkemungkinan besar tidak akan diluluskan dalam masa terdekat iaitu tahun ini meskipun pindaan diluluskan oleh Parlimen kerana masih terdapat beberapa prosedur lain yang perlu dilengkapkan.

“Sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan akhir tahun ini, undang-undang berkenaan masih belum boleh dilaksanakan kecuali ada undang-undang khusus,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/04/07/pembentangan-ruu-anti-lompat-parti-ditangguh-lagi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button