Berita Utama

44,376 kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19

38.1 peratus dari kumpulan umur sama terima sekurang-kurangnya satu dos

KUALA LUMPUR, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Seramai 44,376 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sebanyak 1,353,370 atau 38.1 peratus daripada populasi kanak-kanak dari kumpulan umur sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,855,208 individu atau 91.8 peratus telah lengkap divaksinasi dan 2,953,452 individu atau 95 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi populasi dewasa, seramai 15,888,368 individu atau 67.5 peratus telah menerima dos penggalak, 22,955,102 individu atau 97.6 peratus lengkap vaksinasi dan 23,232,340 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 25,487 dos vaksin diberikan semalam, membabitkan 2,631 dos pertama, 11,755 dos kedua dan 11,101 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,069,817.

Dalam pada itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 32 kematian akibat COVID-19 dilaporkan di negara ini semalam dengan Johor dan Selangor masing-masing merekodkan jumlah tertinggi sebanyak tujuh kematian.

Ia diikuti Perak dengan lima kes, Terengganu (empat) selain Kedah dan Melaka, masing-masing merekodkan tiga kes.

Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis pula masing-masing mencatatkan satu kes kematian akibat COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button