Berita Utama

Identiti 4 warga asing hilang di Mersing dikenal pasti

Keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kehilangan mereka

MERSING, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Identiti empat warga asing yang dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini semalam, telah dikenal pasti.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata mereka dikenali sebagai Kristine Grodem, 35, yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda).

“Kesemua mangsa adalah pelancong yang seorang daripada mereka merupakan seorang jurulatih (selam) manakala tiga yang lain adalah pelajar.

“Ini bukan kali pertama mereka menyelam, (sebaliknya) kesemua mereka agak berpengalaman dalam selaman dan sedang menaik taraf sijil kelayakan menyelam,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata semua keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kehilangan mangsa dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga petang ini bergantung keadaan cuaca.

Beliau berkata keluarga mangsa yang terlibat telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung maklumat kehilangan dan difahamkan mereka dalam perjalanan menuju ke sini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas Kem Iskandar Mersing Adi Ridzwan Abdullah dan Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Dalam kejadian tengah hari semalam, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.

Op Carilamat diteruskan bermula 7 pagi tadi melibatkan seramai 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button