Dunia

Malaria: WHO syor vaksin kedua cegah risiko pada kanak-kanak

Dijangka sedia kepada negara Afrika pada pertengahan tahun depan

GENEVA, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan vaksin kedua penyakit malaria untuk mencegah risiko kepada golongan kanak-kanak.

Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang akhbar di Geneva pada Isnin, dua tahun selepas mengesyorkan vaksin pertama, RTS,S.

“Hari ini, saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa WHO mengesyorkan vaksin kedua, yang dipanggil R21/Matrix-M, untuk mencegah malaria pada kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit itu,” katanya.

Tedros berkata, ujian menunjukkan vaksin terbaharu itu selamat dan pemantauan keselamatan akan diteruskan apabila ia dilancarkan.

Katanya, kos vaksin adalah antara AS$2 hingga AS$4 satu dos.

Cadangan WHO itu diambil berdasarkan nasihat daripada dua kumpulan pakar – Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi (SAGE) dan Kumpulan Penasihat Dasar Malaria.

Menurut dua kumpulan pakar itu, ujian vaksin R21 menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan simptom kes malaria sebanyak 75 peratus dalam tempoh 12 bulan selepas siri tiga dos vaksin di kawasan penularan bermusim.

Katanya, dos keempat diberikan setahun selepas yang ketiga, menunjukkan untuk mengekalkan perlindungan.

“Keberkesanan ini serupa dengan vaksin RTS,S apabila diberikan secara bermusim,” katanya.

Walaupun kematian akibat malaria menurun lebih daripada separuh sejak tahun 2000 dan penyakit itu dihapuskan daripada banyak bahagian dunia, namun secara global ia masih belum terhenti.

“Hampir separuh penduduk dunia kekal berisiko. Dianggarkan 247 juta kes malaria, dan 619,000 kematian dilaporkan pada 2021, manakala 95 peratus daripada kes dan kematian adalah di Afrika di mana kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun,” katanya.

Vaksin RTS,S akan dilancarkan di beberapa negara Afrika awal tahun depan, sementara vaksin R21 dijangka sedia kepada negara pada pertengahan 2024.

Tedros turut memaklumkan bahawa SAGE juga menyemak vaksin terhadap penyakit denggi dan meningitis pada mesyuaratnya minggu lepas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button