Berita Utama

Kos haji 2022 dijangka cecah lebih RM25,000

TH masih teruskan bantuan kepada semua jemaah Muassasah kali pertama

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang.

Ia susulan peningkatan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Pada 2019, kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah ialah RM22,900.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan cukai tambah nilai (VAT) yang telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan.

Kos itu tidak termasuk pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kos haji yang meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Mekah dan Madinah.

Beliau berkata, TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan.

“Namun setakat ini, TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama.

“TH telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun. Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16 peratus manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139 peratus disebabkan faktor luar kawalan TH.

“Rekod TH menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh menjelaskan, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan.

Katanya, kos-kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

“Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan cukai tambah nilai dan kadar inflasi di sana,” katanya.

Syed Saleh berkata, selain kos langsung yang dinyatakan itu, TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas haji.

“Jumlah kos tidak langsung ini sahaja mencecah RM60 juta setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, walaupun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat penularan COVID-19, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi.

“Bakal haji juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji.

“Pada ketika ini, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi Musim 1443H/2022M,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button