Berita Utama

Malaysia, Indonesia wajar juarai usaha jadikan bahasa Melayu bahasa rasmi kedua ASEAN

Bahasa pengantar pendidikan seharusnya bahasa Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Ramadan 1443H, Khamis – Meskipun ditolak, Malaysia dan Indonesia sewajarnya bersama-sama menjuarai usaha yang lebih agresif ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN dengan dukungan kukuh Brunei serta Singapura.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani mendakwa, Singapura telah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa kebangsaan walaupun lebih menggunakan bahasa Inggeris.

Dakwanya, presiden republik itu sejak yang pertama hingga terkini juga fasih berbahasa Melayu dan kerap menggunakan bahasa itu dalam beberapa acara di peringkat nasional, malah lagu kebangsaan Singapura serta arahan kawad tentera negara itu masih dalam bahasa Melayu sehingga sekarang.

“Hanya beberapa negara sahaja yang tidak berbahasa Melayu seperti Vietnam, Thailand dan Filipina.

“Itu pun jika diteliti bahasa Tagalog bukanlah asing tetapi juga dari rumpun bahasa Melayu sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau berpendapat, langkah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau pertama sekali pun di ASEAN amat wajar dan patut disokong.

Katanya, cadangan itu bukanlah sesuatu yang baharu disyorkan tetapi merupakan usaha sejak dahulu sebenarnya cuma ia lama tertangguh.

“Jika kita mencari-cari perbezaan dan masalah, ia tetap ada di mana-mana dan pada bila-bila masa termasuklah dalam hal bahasa Melayu dan penggunaannya sama ada dalam negara sendiri mahupun di peringkat serantau atau nusantara ini,” katanya.

Selain itu, Kamal Shukri tidak menolak kemungkinan konsep Keluarga Malaysia di peringkat negara akan diangkat kepada Keluarga ASEAN di peringkat nusantara.

Bagaimanapun demi menjayakan agenda itu, beliau berkata, hambatan dan halangan sejak sekian lama – sama ada diakui atau tidak – seperti sekolah pelbagai aliran sepatutnya tiada lagi pada masa kini.

“Kerajaan perlulah bertegas dalam hal ini demi menjayakan konsep itu. Mana mungkin dalam satu keluarga kita masih menggunakan bahasa yang berbeza-beza yang boleh menimbulkan ruang curiga dan keadaan tidak harmoni. Dalam satu keluarga memang bagus sekali kita menguasai pelbagai bahasa.

“Belajarlah dan jangan dihalang sesiapa pun anggota keluarga untuk belajar, tetapi untuk berhubungan, pendidikan sebagai bahasa pengantar sepatutnya satu sahaja bahasa pengantar digunakan iaitu bahasa Melayu yang telah mengakar sejak ribuan tahun dahulu di nusantara dan bumi ini.

“Sebagai satu keluarga besar Malaysia kita wajib menerima hakikat ini tanpa sebarang syarat, alasan atau dolak-dalik lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button